Nukilan Dari Dr. MAZA,
Sering kali kita mendengar orang berkata: “Islam agama yang hebat dan membentuk penganutnya menjadi insan yang bertamadun dan mendahului umat-umat Islam”. Penyataan tersebut disertakan pula dengan kisah-kisah umat Islam yang telah berjaya dan gemilang. Sebagai sokongan fakta. Dengan harapan umat di era ini akan terus berbangga dengan Islam mereka dan umat yang lain akan tertarik hati dengan agama yang agung ini.
Malangnya, penyataan sejarah yang lepas, kelihatannya amat berbeza dengan realiti yang disaksikan pada hari ini. Sementara manusia pula secara mijoritinya lebih terkesan dengan realiti yang disaksi, dibandingkan apa yang tertera dalam lembaran sejarah. Apatah lagi jika umat itu, bukan umat yang membaca dan mengkaji. Jika kita lihat kepada masyarakat Islam tempatan kita, khususnya orang melayu yang mendominasikannya, kita agak kecewa. Sebut sahaja segala gejala sosial yang serius, orang melayu yang mengakui diri sebagai muslim mendahuluinya. Hinggakan melayu yang minoriti di Singapura, tetap mijoriti dalam pengambilan dadah. Mat rempit, vadalisme, keciciran dalam pendidikan, kemunduran ekonomi dan berbagai lagi, samada kita ingin akui atau tidak realitinya, mereka semua didominasi oleh satu masyarakat yang mengakui Islam sebagai agamanya dan melayu adalah bangsanya.
Persoalan yang ditimbulkan, atau mereka yang bukan ‘melayu’ tertanya; adakah Islam yang dianuti itu punca kepada ini semua?!!. Sebab, pada zahirnya, semua bangsa berkongsi sama di tanahair kita dari segi udara, air, tanah dan persekitaran. Apa yang membezakan antara kita ialah agama, keduanya bangsa. Jika bangsa tidak ada kaitan dengan soal ini, tentu akan dikaitkan dengan agama. Begitulah sebaliknya.
Sudah pasti sifat Islam sebagai agama wahyu yang maha benar dan sejarah Islam yang gemilang menolak untuk dikaitkan kemunduran dan kelemahan dengan agama yang agung itu. Aqidah yang sejahtera akan pasti mengingkari untuk Islam dipalitkan dengan kecacatan dan ‘ketidak majuan’. Jika demikian, yang tinggal untuk diperbahaskan atau dikaitkan dengan kelemahan ini ialah sesuatu yang berkait dengan bangsa. Bukan tujuan untuk merendahkan bangsa! Tidak sama sekali tidak!! Sebaliknya untuk dibaiki dan dinilai!. Bahkan bagi saya orang melayu dalam hal ini tidak jauh atau banyak bezanya dengan orang Arab.
Bangsa Melayu, sekalipun banyak kelebihan di sudut budi dan bahasanya, namun dalam beberapa perkara lain –secara perbandingan- ‘warisan budaya’ melayu semata tidak begitu mampu atau berdaya saing dalam sesetengah perkara. Ambil sahaja contoh orang cina di sudut budaya kesungguhan kerja, berniaga dan seni-seni kehidupan yang lain, amat mantap untuk dibandingkan. Secara umumnya, seorang yang lahir dalam keluarga cina tidak perlu berhempas pulas memahami ilmu perniagaan, kerana ia telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Demikian budaya kerja, tolong menolong sesama bangsa dan berbagai budaya positif yang lain. Justeru itu, ramai di kalangan mereka sekalipun tidak keluar dengan lulusan yang tinggi dalam bidang perniagaan, mereka lebih berjaya dari yang keluar dengan sijil bergulung, namun masih menganggur di rumah. Soal rajin kerja, kuat belajar, bersaing secara positif, walaupun ada di kalangan sejarah bangsa melayu ini, namun ia belum sampai ke peringkat warisan budaya. Sementara orang cina dan Barat telah mewarisinya sejak zaman berzaman menerusi sejarah dan tamadun mereka.
Untuk mengatasi kelemahan ruang-ruang tersebut, maka orang melayu tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil suatu tamadun untuk dibudayakan secara zahir dan batin yang tidak mungkin dicabar iaitu Islam yang tulen. Di sini saya sebutkan perkataan Islam tulen bagi membezakan Islam yang telah disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.
Jika Islam ini tidak ambil secara betul, maka orang melayu atau Arab tidak akan mampu untuk bersaing di persada dunia hari. Ini kerana, sesetengah bangsa-bangsa lain, sekalipun mereka kehilangan akidah yang benar, namun ciri-ciri tamadun kaum yang mereka pusakai telah membantu membawa mereka membina harta dan kekayaan. Sementara bangsa-bangsa yang menganut Islam, jika tidak benar-benar membudayakan Islam dalam prinsip kehidupan secara komprehensif, maka mereka bersaing tanpa sebarang kekuatan. Tidak kekuatan Islam, tidak juga kekuatan tamadun bangsa. Sedangkan bangsa-bangsa yang tidak Islam, sekurang-kurang mereka mempunyai bekalan persaingan iaitu tamadun bangsa mereka yang mempunyai ciri-ciri positif dalam beberapa sudut. Justeru itu, mereka lebih ke hadapan dan berjaya.
Mungkin ada yang berkata: “Mana perginya kekuatan tamadun bangsa-bangsa yang menganut Islam ini?”. Apakah bangsa mereka langsung tidak ada keistimewaan?! Saya katakan, mungkin. Namun banyak pusaka warisan itu hampir hilang sejak bergenerasi lamanya, dek datangnya Islam yang membawa tamadun yang maha agung dan berwibawa. Juga sifat Islam yang menghapuskan apa yang bertentang dengan prinsipnya yang kudus. Islam telah mengambil tempat warisan budaya atau pusaka sesetengah bangsa dengan gantian suatu sistemnya yang paling ampuh. Malangnya apabila generasi kemudian memegang Islam secara pinggiran, atau tersasar dari panduannya, maka mereka kehilangan tamadun Islam yang agung, sekaligus warisan budaya mereka yang dahulu.
Sesuatu bangsa apabila hilang akar tamadunnya, maka lemahlah mereka, serta mudahlah terdedah kepada pengaruh dan serangan luar. Itulah realiti kita hari ini. Melayu atau arab yang sedang hanyut dengan dunia khayalan yang digula-gulakan.
Ditambah lagi, Islam yang diajar tidak lagi dalam bentuk yang difahami oleh generasi awal yang telah berjaya membina keagungan. Persoalan akidah tidak lagi menjadi teras dalam banyak keilmuan. Sehinggakan perkara-perkara yang merosakkan akidah ramai tidak lagi difahami. Ataupun akidah gagal ditempatkan dipersada persaingan.
Sementara sesetengahnya mencanangkan Islam dengan tafsiran yang mundur lagi tidak berasas. Hingga ada yang menganggap selain dari mata pelajaran yang berbunyi ‘arab’ adalah sekular. Seketika golongan agama lebih mudah untuk diingati jika dikaitkan dengan kain pelekat, baju melayu, datang lewat, berjalan ‘slow’, tidur di masjid, susah terima pendapat orang lain, muncul ketika orang mati dan kahwin dan hilang ketika umat gawat bersaing menghadapi percaturan zaman. Hingga orang akan kehairan jika seorang ustaz tahu banyak perkara. Jika ustaz tidak tahu tentang perkembangan semasa dan persoalan moden, mereka kata; “biasalah, dia tu ustaz!”. Maka akhirnya golongan agamawan gagal untuk mengisi posisi-posisi penting umat. Apa tidaknya; ketika harta dan ekonomi umat tergadai, golongan agama masih ada yang bising soal hukum orang bukan Islam makan daging akikah atau larangan menjawab salam mereka!!, Sepatutnya kita berfikir bagaimana untuk menjadikan Islam ini lebih menarik sehingga bukan muslim di sekeliling kita menerima petunjuk yang benar. Sekaligus segala kekayaan yang mereka miliki turut Islam bersama mereka!!. Bukan sekadar sekeping daging akikah, atau sepatah ucapan salam.
Maka kita hilang Islam, tiada pula pusaka nenek moyang. Islam yang sepatutnya mengisi ruang tamadun kita, telah kita tinggalkan. Maka ramai pemuda kita tiada cita-cita besar, tidak merasai ketinggian harga diri dan tiada tanggungjawab, akibat tidak ada jiwa agama. Jika dia berbangsa cina, mungkin dia malu kerana bekerja itu rajin itu adalah budaya yang jika ditinggal suatu kecacatan dan kehinaan. Jika dia muslim yang baik, dia akan merasai dosa hidup tanpa usaha dan perjuangan. Tapi apabila dia melayu tanpa agama dan budaya, dia rasa itu biasa…
Amir al-Mukminin ‘Umar bin al-Khattab pernah menyebut kepada kaum Arab: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut).
Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi dalam bukunya Kaif Dakhala al-‘Arab al-Tarikh menggambar betapa Arab sebelum kedatangan Islam hidup dalam keadaan terpencil dari pentas sejarah. Sekalipun pada Arab itu ada ciri-ciri yang baik dan akhlak yang mulia. Mereka memiliki keberanian dan kepandaian dalam senjata, juga tunggangan kuda. Mereka mempunyai bahasa yang tinggi nilainya, indah dan baik. Malangnya kesemua itu tidak mampu membawa mereka ke persada sejarah yang gemilang. Namun mereka akhir berjaya memasuki pentas sejarah apabila mereka menjadi pembawa risalah dan hidayah. Sehingga al-Nadwi menyatakan: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah islamiyyah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, cetakan: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi, Lacknow, India).
Maka memajukan melayu bukan dengan sekadar menghidupkan inang dan mak yong atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ialah dengan membunuh nilai-nilai negatif yang dimusuhi oleh Islam, seperti ‘tidak rajin’, hasad, tidak itqan (bersungguh) dalam sesuatu pekerjaan, membazir waktu, melampau dalam hiburan dan berbagai lagi. Wajib menghidupkan nilai-nilai positif yang disuruh oleh al-Quran dan al-Sunnah seperti rasa bertanggungjawab membangunkan umat yang membuahkan kesungguhan menuntut ilmu dalam segala bidang dan melaksanakan peranan kekhalifahan membina tamadun. Ruh sebenar Islam mesti diterapkan untuk ini semua.
Maka guru-guru agama, hendaklah memiliki al-‘uqul al-nadijah al-wa’iyyah ’ (akal yang matang lagi berkesedaran) yang mampu menggerakkan tamadun umat. Bukan sekadar membicara kes-kes yang hampir pupus pada pada ratusan tahun yang lepas. Atau sekadar mengulangi bab haid dan nifas tanpa mampu mengggerak murid-muridnya menghasilkan sendiri keperluan wanita moden ketika haid dan nifas.