UIA - keperkasaan dalam mempertabatkan institusi pendidikan sebenar


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan satu-satunya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat.

Nama-nama seperti Prof Abd Aziz Bari, Allahyarham Prof Dr Hassan Langgulung, Prof Dr Sidek Baba, Prof Dr Kamal Hassan dan ramai lagi menjadi rujukan dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, pendidikan dan sebagainya. Tahun 2008 ini telah menjadi sejarah kepada UIAM kerana universiti tersebut baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke 25.

Tahniah kepada warga UIAM kerana kampus tersebut berjaya melahirkan ramai graduan yang memberikan sumbangan yang berguna buat negara dan agama.

Kampus yang terkenal ini telah mencipta banyak sejarah dalam lapangan debat dan perbahasan ala parlimen juga dikenali dengan jolokan Taman Ilmu dan Budi ini juga banyak menerima kejutan.

Sebagai satu-satunya kampus yang dimenangi oleh Pro-Mahasiswa, kampus ini menjadi tumpuan ramai kerana Aspirasi yang mendapat sokongan padu pentadbiran dan juak-juak Umno gagal untuk menawan kampus ini.

Mahasiswa UIAM kelihatan sudah serik dengan apa yang dilakukan oleh Aspirasi apabila memegang kuasa MPP sewaktu era boikot pada tahun 2005. Pesta Konvokesyen yang dianjurkan pada tahun itu telah menjadi sejarah hitam buat UIAM.

Kesucian Taman Ilmu dan Budi telah dicemari oleh unsur-unsur hedonisme, perjudian serta persembahan band-band nyanyian seperti Sixth Sense telah diundang tanpa mempedulikan sensitiviti mahasiswa.

Mahasiswa UIAM akhirnya membuat keputusan muktamad menguburkan terus impian Aspirasi untuk terus menerajui kepimpinan mahasiswa lantaran prestasi yang telah mereka tunjukkan.

Akhirnya mahasiswa memberikan amanah kepada We Unite for Islam (WUFI) iaitu Pro-Mahasiswa untuk membawa suara mereka.

Walaupun berbagai halangan dan kekangan dari pentadbiran, WUFI tetap terus tabah memperjuangkan hak-hak mahasiswa.

Akhirnya PRK 2007 menguji sekali lagi kesabaran mahasiswa apabila terpaksa melalui proses penamaan calon sebanyak dua kali.

Tetapi mahasiswa tetap memilih WUFI kerana ideologi kemahasiswaannya. WUFI telah membuktikan amanah yang dipertanggungjawab oleh mahasiswa apabila MPP mengetuai bantahan mahasiswa dengan mengumpulkan tandatangan warga kampus dan menghantar memorandum bantahan mahasiswa UIAM dalam kes pertukaran jubah konvokesyen dan songkok kepada mortar board yang diputuskan secara mengejut tanpa meninjau pandangan warga kampus terlebih dahulu.

Mudahan PRK 2009 akan menjadi satu lonjakan paradigma dalam mempertahankan martabat UIA di kalangan ilmuan dunia.